PUTRAJAYA – Empat tahun berdepan dengan masalah kewangan selepas diberhentikan kerja, S. Uma Devi, seorang ibu tunggal mendakwa, dia hanya dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah, wanita berusia 49 tahun itu terpaksa mencatu wang simpanan apabila sehingga hari ini gagal mendapat pekerjaan tetap.
“Sebelum ini saya bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat. Tapi selepas tahun 2018 syarikat minyak dan gas tempat saya bekerja buang pekerja dan saya salah seorangnya.
“Semenjak itu saya hanya hidup dengan wang simpanan saya sebab sehingga hari ini saya gagal dapat pekerjaan tetap. Simpanan itu termasuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sebelum in dikeluarkan.
”Dalam masa yang sama beberapa NGO yang bantu saya,” katanya ketika hadir bersama-sama peserta lain bagi menghantar memorandum tuntutan pengeluaran KWSP di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Apatah lagi katanya, anak-anaknya memerlukan perbelanjaan untuk bersekolah tidak lama lagi.
“Saya pernah mohon bantuan tapi tidak pernah dapat. Saya ada dua anak dan kerajaan bantu tiap-tiap bulan RM100 untuk kedua-dua mereka, tapi itu tidak cukup.
“Sekarang ini saya memerlukan wang untuk perbelanjaan persekolahan mereka. Sebab itulah saya terdesak mahukan KWSP kali ini,” tambah beliau.
Katanya, dia masih mempunyai sejumlah wang di dalam KWSP dan hanya kerajaan membenarkan ia dikeluarkan. – MalaysiaGazette