Foto Facebook Mohd Izani Mohd Zain.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) merakamkan ucapan tahniah kepada Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain atas pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pelantikan Mohd. Izani yang juga merupakan Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM akan berkuatkuasa mulai 19 Februari ini.

Surat pelantikan itu diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semalam.

“Terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin atas kepercayaan yang diberikan. Semoga saya dianugerahkan ilham dan kudrat untuk menyempurnakan amanah besar ini.

“Sudah tentu agenda pemerkasaan mahasiswa menjadi keutamaan yang meliputi pengupayaan bakat dan potensi termasuk pendidikan politik. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang menyampaikan ucapan dan hajat untuk bekerjasama nanti. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan,” tulis Mohd. Izani di hantaran Facebook miliknya.

Beliau yang penganalisis politik merupakan lulusan Doktor Falsafah (PhD), Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Sarjana Sastera dan Ijazah Sarjana Muda Syariah di mana kesemuanya dari Universiti Malaya. – MalaysiaGazette