Ciapan seorang pemilik akaun twitter yang didakwa tiba benar dan fitnah kononnya mangsa kemalangan dihalang buat laporan polis di Bukit Damansara malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dikesan menyebarkan fitnah terhadap polis menerusi akaun Twitter semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, usaha mengesan dan menjejaki lelaki tempatan itu telah dipergiatkan.

Suspek sedang diburu selepas menyebarkan ciapan Twitter yang berbaur fitnah kononnya polis tidak membenarkan mangsa kemalangan di Bukit Damansara membuat laporan polis di Balai Polis yang terletak di kawasan tersebut semalam.

“Lelaki itu dalam ciapan akaun Twitter @ManiamMKM jam 9.58 malam tadi mendakwa berlaku satu kemalangan jalan raya di Bukit Damansara dan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu tidak dibenarkan membuat laporan polis di Balai Bukit Damansara serta diminta pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail atau Ibu Pejabat Polis Daerah.

“Ciapan oleh lelaki dalam Twitter itu merupakan satu fitnah berniat jahat terhadap polis dan laporan polis telah dibuat ke individu itu (pemilik akaun Twitter @ManiamMKM) pada hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan polis terhadap dakwaan lelaki itu mendapati ‘Balai Bukit Damansara’ yang dimaksudkan sebenarnya Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang telah ditutup sejak 2010 dan tidak beroperasi lagi.

Pondok berkenaan telah diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011.

Kertas siasatan berhubung fitnah ciapan lelaki dalam twitter itu telah dibuka dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kes juga sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dey Tambi….
    nanti tulis lagi apa cer…. lepas kena tangkap, kalau boleh tulis dalam bahasa kebangsaan ya….

Comments are closed.