Lelaki bertopeng sedang meragut beg tangan seorang mangsa wanita dala kejadian di Kapatr Klang semalam sedang diburu polis membantu siasatan. Ihsan IPD Klang Utara

KLANG – Seorang penyelia wanita pasar mini melalui detik mencemaskan apabila disamun oleh individu suspek bertopeng serta bersenjatakan parang dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Khairi Shafie berkata, polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam lebih kurang 9.23 malam tadi.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.37 petang semasa mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 40-an sedang berjalan menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh daripada tempat kerjanya.

“Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian serba hitam, bertopi dan memakai topeng muka  keluar dari sebuah kereta di parkir bergerak ke arah mangsa sebelum meragut beg tangan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta digunakan suspek jenis Honda City berwarna emas.

“Dalam rakaman itu didapati kenderaan suspek menunggu di belakang kereta mangsa sebelum dia meragut beg tangan dengan bersenjatakan parang.

“Seorang lelaki yang melihat insiden itu telah lari ke arah wanita itu dan cuba membantu melawan suspek namun gagal kerana diancam dengan parang sebelum berjaya melarikan diri bersama beg tangan tersebut,” ujarnya.

Polis kini giat memburu suspek berkenaan. – MalaysiaGazette