Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kabinet semalam setuju meminda perlembagaan untuk memberi kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia akan dilakukan menerusi cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ bagi membolehkan ibu warga Malaysia mendapat hak menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Saifuddin, pada masa yang sama pindaan lain berkaitan kewarganegaraan, terutamanya Bahagian III, akan dikaji dengan lebih terperinci oleh Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah kementeriannya.

Tambah beliau, ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, perkara itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia, mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul.

Selain itu, tambah beliau ia dapat menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah dan memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

“Kesan daripada keputusan hari ini (semalam) adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette