APMM Pulau Pinang menahan lima warga Myanmar yang mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa permit yang sah.

GEORGE TOWN – Bot nelayan tempatan yang dikendali lima kru warga Myanmar tanpa pengenalan diri dan permit sah bagi menangkap ikan ditahan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang di perairan negeri ini, semalam.

Mereka ditahan ketika anggota APMM melakukan rondaan rutin Op Pertiwi dan Op Tanjung pada kedudukan 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi di sini, pada jam 10.30 pagi.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu bot nelayan kelas C itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendali tekong dan empat kru warga Myanmar berusia antara 23 hingga 42 tahun.

Tangkapan dilakukan di perairan Pulau Kendi.

“Selain tiada surat kelulusan bertulis atau permit kerja yang sah, mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diminta.

“Bot dan kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut yang dirampas dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung sebelum diserah kepada pegawai penyiasat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Orang ramai yang mempunyai maklumat salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut boleh segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999 bagi maklum balas segera. – MalaysiaGazette