Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas menerima borang keahlian parti PUTRA di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir merungkai alasan utama beliau membuat keputusan untuk keluar daripada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) kerana kecewa dengan sikap parti itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah Pejuang untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyebabkan beliau nekad meninggalkan parti kedua yang ditubuhkan beliau.

Beliau hairan dengan pendekatan Pejuang menolak GTA yang merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersih dan tidak terpalit dengan rasuah.

“Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih sebab sudah tidak banyak, kerana parti yang besar semua terlibat dengan rasuah, yang tinggal adalah parti kecil seperti Putra, Iman, Pejuang, dan Berjasa.

“Pejuang kata tak mahu NGO, tidak mahu GTA, jadi bermakna bukan penyatuan tapi perpecahan lebih daripada itu, jadi saya kecewa sebab itu apabila mereka buat keputusan secara rasmi bahawa mereka tidak mahu GTA.

“Sebaliknya tidak sebut mereka tidak mahu yang lain, bermakna mereka lebih utamakan yang lain termasuk parti-parti lain yang terlibat dengan rasuah,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali dan bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Pada 10 Februari lalu, Mahathir menyatakan beliau keluar daripada Pejuang bersama-sama 12 lagi pemimpin parti itu.

Keputusan itu dibuat ekoran parti pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertindak memutuskan hubungan dengan GTA.

Ditanya mengenai reaksi Mukhriz mengenai tindakan beliau, Mahathir enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu, itu pemikiran dia,” ujarnya.

Pejuang ditubuhkan Mahathir pada Ogos 2020 sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumpan untuk menarik diri daripada menyertai GTA pada mesyuarat agung keduanya pada 14 Januari lalu.

Dalam pada itu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menjemput Dr. Mahathir untuk menyertai parti itu, hari ini.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad diberikan borang keahlian parti PUTRA oleh Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (kanan) selepas sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

Ibrahim turut menawarkan jawatan penasihat parti kepada Dr. Mahathir.

Menjawab tawaran itu, Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai sebab untuk menolak tawaran tersebut dan memerlukan masa untuk membuat keputusan.

“Setakat ini saya tidak nampak sebab untuk saya tidak terima, tapi beri masa kepada saya untuk fikir mendalam sebelum saya buat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast