Leong Yu Man (empat dari kiri) memeriahkan acara Cherating Surf Festival 2.0 di pantai Cherating pada semalam.

KUANTAN – Cherating Surf Club dengan kerjasama Tourism Pahang menganjurkan Cherating Surf Festival 2.0 pada 16 hingga 19 Februari ini di Pantai Cherating.

Ia melibatkan 140 penyertaan dari seluruh negara.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, Cherating Surf Festival 2.0 merupakan acara sukan luncur ombak kali kedua dianjurkan Cherating Surf Club.

Tourism Pahang telah meletakkan usaha untuk memajukan lagi sukan itu dengan menganjurkan festival dan acara pertandingan tempatan dan antarabangsa.

“Sukan luncur ombak telah bertapak sejak dari tahun 1990-an lagi di Malaysia terutamanya di Cherating masih popular dalam kalangan penggemar sukan itu di sini.

“Ini telah membantu melonjakkan Cherating sebagai lokasi popular kepada peluncur dari jauh dan dekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pihak Cherating Surf Club juga mendapat sokongan berterusan dari Persatuan Luncur Ombak Malaysia, pengelola badan sukan Luncur Ombak Malaysia untuk menjayakan festival serta juga sokongan yang padu dari pihak.

Antara penaja utama seperti Tourism Pahang, Rip Curl, Royale Chulan Cherating, Residence Inn Cherating, Tanjung Inn Cherating, Cool Guys, Ranting dan penaja-penaja lain konsisten memberi sokongan kepada penganjuran sukan luncur ombak ini.

“Sebanyak lapan kategori sukan luncur ombak ini dipertandingkan dengan tawaran hadiah bernilai RM14,450 dalam wang tunai dan RM5,000 dalam voucher daripada Rip Curl serta tajaan  trofi daripada Cool Guys.

“Pemenang daripada acara ini juga berpeluang untuk mewakili negara dalam pertandingan luncur ombak peringkat antarabangsa dengan pengumpulan mata dari setiap edisi pertandingan luncur ombak seluruh Malaysia,” katanya.

Hadir sama semasa majlis perasmian Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim. – MalaysiaGazette