Penguat kuasa JAIM melihat sijil nikah dikemukakan pasangan warga Myanmar dan Indonesia yang dipercayai palsu dan didakwa diperolehi dengan bayaran RM450 terhadap seorang individu bergelar ustaz ketika pemeriksaan di rumah mereka di Semabok, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mengesan kegiatan pernikahan palsu yang dipercayai didalangi satu sindiket dengan bayaran RM450 setelah proses akad nikah yang dilakukan di  rumah sahaja.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ia susulan tangkapan terhadap seorang lelaki etnik Rohingya dan seorang wanita warga Indonesia yang didakwa adalah isterinya dalam satu serbuan operasi bersepadu awal pagi tadi.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi di kawasan kampung di Jalan Bunga Raya 4, Semabok itu, pemeriksaan mendapati sijil pernikahan dikemukakan warga Myanmar itu diragui dan dipercayai palsu.

“Hasil soal siasat, lelaki itu mendakwa diberikan sijil nikah itu daripada seorang ustaz selepas dia membayar RM450 untuk melangsungkan pernikahan di rumah mereka pada 2018.

“Pasangannya yang merupakan ibu tunggal pula mendakwa berkahwin dengan lelaki berkenan selepas enam bulan ditinggalkan suami tanpa melalui proses perceraian,” katanya ketika ditemui media dalam operasi bersepadu di sini hari ini.

Che Sukri Che Mat

Operasi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman, penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, pasangan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

“Selepas ini, kita juga akan menyiasat sekiranya sindiket pernikahan warga asing ini masih aktif menawarkan perkhidmatan mereka.

“Memang kita tidak nafikan sindiket ini mungkin masih wujud ekoran penemuan bukti dalam kes pagi ini, namun siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette