Tengku Zafrul Tengku Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, beliau sedia memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa jika diminta berbuat demikian.

Dalam ciapan di laman Twitter, Zafrul yang merupakan Menteri Kewangan ketika projek itu dilaksanakan menegaskan bahawa tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung isu tersebut.

”Ada media tanya saya mengenai JanaWibawa.

”Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bercakap kepada pemberita petang tadi mengesahkan beliau telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek Jana Wibawa.

VIDEO

Beliau menjelaskan, projek tersebut dikendalikan Kementerian Kewangan (MoF) dan setiap kelulusan perlu dibuat menerusi kementerian tersebut, bukannya diputuskan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Beliau yang ditemui media selepas program derma darah anjuran TSM Charity Golf Foundation berkata, projek yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 itu dicadangkan Menteri Kewangan ketika itu iaitu Tengku Zafrul.

“Jana Wibawa ini ialah satu projek yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kewangan yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan waktu itu Tengku Zafrul pada saya yang saya setuju ialah kerana di waktu Covid antara yang paling teruk terkesan ialah kontraktor-kontraktor bumiputera.

“Kalau tak dibantu sebahagian besar dah gulung tukar,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette