Mangsa terselamat, Abdullah Zuhair As Syed mencari barang-barang yang tinggal selepas gempa bumi yang melanda rumahnya di Harem, Idlib, Syria. Foto FAREEZ FADZIL, 17 FEBRUARI 2023.

IDLIB (Syria)- Ketika sedang lena tidur dalam cuaca dingin yang jatuh sekitar lima selsius pada 6 Februari lalu, penduduk Harem di Idlib pada mulanya menyangka gegaran yang dirasai angkara serangan tentera rejim Bashar al Assad seperti yang sering dilalui sebelum ini.

Dalam sekelip mata, kedengaran suara jeritan dan tangisan yang meraung meminta tolong.

“Di kampung ini, sekitar pukul 4 pagi, kami dapat rasai bangunan bergoncang ketika ramai sedang tidur. Dalam hanya satu minit, semua bangunan runtuh.

“Pada mulanya, kami sangka ia serangan udara, pengeboman dan bedilan dari udara. Kami biasa dengan serangan begini. Bagi saya sendiri, ini adalah kali kedua saya alami situasi merangkak keluar dari runtuhan.

“Keadaan sekeliling begitu gelap hingga saya tidak dapat melihat apa-apa. Saya hanya boleh gerakkan tangan. Anak-anak dan isteri ada di sekitar saya. Namun, kemudian baru saya sedar ada yang sudah terkorban,” kata Mustafa Zuhair Al Sayed.

Di sebalik kelancaran berkata-kata, adakala perbualannya tersangkut-sangkut. Dia seakan mencari kekuatan untuk bercerita pengalaman paling tragis yang ditangggungnya.

“Pada hari pertama, saya dapat mendengar suara jiran-jiran saya. Apabila ada yang bertanya, berapa lama saya terperangkap dalam runtuhan, saya jawab, selama sejam.

“Kami tidak kenal pasti antara malam dan siang. Pada mulanya, saya dapat dengar suara jiran-jiran saya, tetapi kemudian semuanya senyap.

“Ramai yang maut, akibat ketiadaan udara dan oksigen. Mereka tidak dapat bernafas. Apabila terdengar ada bunyi peralatan mesin, barulah kami sedar ada usaha sedang dilakukan untuk selamatkan kami,” kata Mustafa.

Ketiadaan peralatan menyebabkan banyak insan yang terperangkap menjadi korban kerana berapalah sangat kudrat manusia untuk mengalih bungkah konkrit.

Apapun, mereka yang terselamat tidak pernah menyerah untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Dia sendiri berkongsi pengalaman saat-saat bertarung antara hidup dengan mati.

“Subhanallaah. Apabila nampak cahaya, kami gembira. Anak -anak menjadi riang. Mereka kata, ayah, ada cahaya. Ada cahaya!”

“Dengan kudrat yang ada, saya menjerit sekuat -kuatnya memanggil anggota penyelamat. Kami ada di sini. Saya, isteri dan anak-anak. Alhamdulillah, kami masih hidup.” ceritanya dengan panjang lebar.

Ketika itu Abdullah berkata, dia meminta supaya mesin tidak digunakan.

Berkongsi cerita yang sama, adiknya Abdullah Zuhair Al Sayed.

Dia yang terselamat berkata, ketika sampai ke kediaman yang dihuni kaum keluarga dan saudara mara sejurus selepas gempa bumi, semuanya tinggal puing-puing runtuhan.

“Bersama saya beberapa tenaga muda. Saya lihat ada kaum keluarga yang sudah pun mati. Tiada jentera berat di sini. Kami hanya mampu korek menggunakan tangan. Jentera menyelamat tiba lambat.

“Mereka yg masih hidup bawah runtuhan akhirnya mati kerana jentera penyelamat lambat tiba.

“Subhanallah. Kebetulan sepupu saya ada mesin/jentera pengorek. Saya minta dia ke satu lokasi dekat masjid dan lakukan penggalian. Saya berjaya keluarkan emak saya, adik beradik saya lelaki dan perempuan (empat orang),” katanya.

Menurut Abdullah, berdasarkan cerita mereka yang dibawa keluar, mangsa yang terperangkap mendengar panggilan tetapi suara mereka dihalang timbunan bangunan.

Dia yang ditemui anggota misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria Mapim mengakui buntu dan trauma.

Daripada 400 keluarga yang menghuni bangunan, 700 telah menjadi korban dan hanya 35 nyawa berjaya diselamatkan.

Sebelum beredar, salah seorang daripada mangsa yang terselamat datang menghampiri dan amat berharap kesengsaraan mereka tidak dilupakan.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh dibuat melalui www.mapim.org. – MalaysiaGazette