JOHOR BAHRU – Seramai 48,759 pelajar di Johor menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini di 367 pusat peperiksaan.
Timbalan Pengarah sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan negeri, Anuar Sukiran berkata, persiapan dan persediaan SPM sudah disusun dan diatur dengan rapi selain kita sentiasa bersiap siaga memastikan kelancaran peperiksaan.”
“Kita harap calon-calon khususnya di Johor dapat jalani peperiksaan dengan tenang dan yakin seterusnya memperoleh kejayaan cemerlang,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru UDA, di sini, hari ini.
Seramai 1,796 pelajar merupakan calon persendirian manakala 149 pelajar lagi calon berkeperluan khas dan 4,823 petugas terlibat dalam peperiksaan SPM di negeri ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan. – MalaysiaGazette