Adnan Mat Cuepacs RM1,800 gaji minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaikkan gaji penjawat awam menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen, Jumaat ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kenaikan gaji pada kadar minimum RM180 setahun boleh mengimbangi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini.

Menurut beliau, CUEPACS berpendapat, kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup ini adalah dengan kaedah meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutamanya melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Tambahan pula sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan menambah, CUEPACS mengharapkan satu sistem saraan yang baharu dengan model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

Beliau memberitahu, rakyat ingin melihat satu perubahan yang benar-benar serius ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini.

Adnan berkata, CUEPACS juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan berita gembira mengenai perumahan mampu milik bagi penjawat awam dalam Belanjawan 2023.

Menurut beliau, harga kediaman mampu milik mesti ditetapkan di bawah RM300,000 agar mampu dibeli oleh penjawat awam dalam kategori B40 dan M40.

Pada masa yang sama, katanya, CUEPACS berharap kerajaan meneliti dan menyelaraskan semula pemberian beberapa elaun yang bersesuaian dengan situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.

“Meskipun tidak menjurus kepada kenaikan gaji, penyelarasan semula elaun penjawat awam sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup sekali gus memberi kuasa membeli yang selesa,” katanya.

Adnan berkata, Belanjawan 2023 juga perlu melihat perkara-perkara yang masih tertinggal dan tidak dilaksanakan sepenuhnya sebelum ini seperti permohonan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) tahun lepas yang masih ramai tidak dibayar.

“Peruntukan untuk penebusan awal GCR ini sepatutnya diberikan kepada semua penjawat awam yang memohon dan bukanlah diberi berdasarkan sejumlah peruntukan sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette