Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menetapkan 15 Jun ini tarikh perbicaraan bela diri membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad terhadap pertuduhan rasuah pelaburan RM150 juta wang Felcra.

Walaupun Bung Moktar dan isteri masih menunggu pendengaran kes tersebut di Mahkamah Rayuan namun Mahkamah Sesyen telah memutuskan untuk menetapkan tarikh-tarikh prosiding belaaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri.

Menurut Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, beliau tidak mahu mengambil masa begitu lama untuk berterusan menangguhkan kes tersebut.

“Ini adalah kes tahun 2019. Kita tidak mahu kes ini terus terabai, jadi saya terpaksa block dulu tarikh-tarikh perbicaraan bagi pastikan jadual mahkamah penuh,” katanya pada sebutan kes tersebut, hari ini.

Beliau turut menetapkan 13 hari untuk prosiding bela diri bermula 15, 16, 26, 27 Jun, 10 hingga 14 Julai, 20, 21, 24 dan 25 Julai.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Bung Moktar, M. Athimulan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya masih menunggu tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Mahkamah Rayuan masih menunggu rekod rayuan termasuk penghakiman bertulis dan nota keterangan daripada Mahkamah Tinggi,” ujarnya.

Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. -MalaysiaGaztte