KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mungkin menarik lebih banyak minat dagangan menjelang pengumuman Bajet 2023 yang dijadualkan pada 24 Februari, menurut Kenanga Research.
Firma pembrokeran itu berkata, pada minggu lepas, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat daripada paras rendah 1,469 pada Isnin kepada 1,495 pada Khamis lepas sebelum berakhir pada 1,477 pada Jumaat.
“Perkara penting pada minggu ini ialah pembentangan Bajet 2023 yang disemak semula, di Parlimen, Jumaat ini yang diharap akan membangkitkan sentimen pasaran,” kata Kenanga Research dalam nota hari ini.
Sebelum ini, katanya pelabur menunggu data statistik perdagangan luaran Januari yang akan dikeluarkan hari ini dan laporan Indeks Harga Pengguna Januari pada Jumaat.
Selain itu, banyak pengumuman mengenai pendapatan korporat suku tahunan menjelang tempoh akhir pelaporan akhir Februari, termasuk Pos Malaysia, Petronas Dagangan, Genting Plantations dan Telekom Malaysia.
Setakat 10.56 pagi, FBM KLCI merosot 2.93 mata kepada 1,473.97. – BERNAMA