Temubual SkopMG bersama bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat penampilan semula mengakui tidak gentar dengan kontroversi lama yang mungkin akan dikitar semula.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, perkara seumpama itu akan terus menjadi mainan para netizen sambil merujuk kepada isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) membabitkan keluarganya satu masa dahulu.

“Soalan pasal lembu atau bukan lagi jadi isu utama. Landskap hari ini menunjukkan tidak ada seorang pun pemimpin yang tak ada cabaran dalam hidup mereka.

“Netizen pun usik-usik nakal, saya okay,” katanya menerusi program bual bicara terbitan MalaysiaGazette, SKOP MG.

Shahrizat atau dikenali Kak Jat itu berkata, kontroversi yang melanda dirinya sebelum ini telah menjadikannya seorang wanita yang lebih kuat dan bersemangat.

“Saya nak cakap satu perkara, saya ini sebenarnya tak pernah ada kes. Keluarga saya ya, ada. Bila sudah tak ada apa nak cakap, mereka cari isu lain, cumanya perkara itu sudah berlaku dan semua sudah selamat.

“Suami saya menghadapi kes itu mengikut lunas undang-undang macam biasa.

“Saya akui, itu cabaran amat luar biasa tetapi menjadi kekuatan buat saya sebagai individu, pemimpin, isteri yang mengikut suami pergi mahkamah serta kekuatan saya sebagai seorang ibu.

“Ia juga telah menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain, jadi jangan cemuh,” katanya lagi.

Jelasnya, untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu harus lalui pelbagai cabaran dan bukan hanya bersandar kepada perkara yang baik-baik sahaja.

“Kita tak nak pemimpin yang good times sahaja. Tiada seorang isteri atau ibu yang melalui semua perkara okay saja,” jelasnya.

Dalam pada itu, menjawab persoalan kembalinya beliau ke pentas politik adalah kerana duit, Shahrizat menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

“Untuk diri sendiri, saya puas apabila melihat visi jadi kenyataan. Lagi pula, saya minat isu-isu wanita. Pemimpin wanita kena jadi juara.

“Pengalaman masa jadi menteri dulu, saya gembira apabila banyak isu wanita dapat saya laksanakan seperti pindaan undang-undang berkaitan wanita, peluang pekerjaan untuk wanita dan banyak lagi.

“Itulah kejayaan peribadi buat saya dan betul, ia sangat puas.

“Kalau ada yang cakap pasal duit itu, memang tak betul sebaliknya ramai ketua-ketua yang belanja duit sendiri nak tolong orang, mana ada orang nak bagi,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, wakil Shahrizat telah menghantar borang pencalonan untuk bertanding Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

Untuk rekod, Shahrizat telah melepaskan jawatan itu pada 2018 dan memberi laluan kepada Datuk Seri Noraini Ahmad.

Shahrizat mengakui mendapat sokongan daripada akar umbi beserta lebih 140 Wanita UMNO Bahagian yang bertemunya untuk memintanya Kembali ke tampuk kepimpinan sayap parti itu. -MalaysiaGazette