Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam (dua kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang bernilai RM4.05 juta yang berjaya dirampas ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2023.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin berjumlah 46,771 gram bernilai kira-kira RM4.05 juta di sekitar Klang, Selangor baru-baru ini.

Dalam rampasan itu, polis menangkap tiga lelaki berumur lingkungan 37 hingga 53 tahun yang mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah berkenaan.

Menurut Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi, tangkap itu dibuat berdasarkan maklumat seorang suspek yang ditahan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz di kawasan Klang.

Katanya, hasil pemerikaan dalam kereta berkenaan, polis merampas satu plastik hitam mengandungi 10 ketulan mampat disyaki dadah heroin dengan anggaran berat 3,831 gram.

“Lanjutan daripada tangkapan itu, lebih kurang pukul 4.20 petang pada Rabu lepas, sepasukan anggota JSJN Bukit Aman menangkap seorang lagi lelaki di sebuah rumah kedai di Kapar, Selangor.

“Daripada pemerikaan dalam rumah kedai itu, polis menjumpai satu bungkis plastik hitam berisi 113 ketulan mampat disyaki heroin dengan anggaran berat 42,940 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor  hari ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam.Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2023.

Jelas Sasikala lagi, bersangkutan kes itu juga, polis turut menangkap seorang lelaki lelaki di sebuah rumah di Kupang, Kedah untuk membantu siasatan.

Kata beliau, siasatan juga menunjukkan seorang suspek bekerja sebagai pemandu kilang manakala dua lagi tidak bekerja dan ujian saringan awal air kencing semua mereka adalah negatif.

Semakan ke atas dua suspek mempunyai rekod lampau iaitu bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) pindaan Akta Hiburan 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (LLPK) 1985.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam dua kes berkenaan ialah 123 ketulan mampat heroin yang dianggarkan berat 46,771 gram bernilai lebih kurang RM4.05 juta.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk dipasarkan di Lembah Klang dan tindakan diambil bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana polis telah menyita sebuah kereta jenis Perodua Alza anggaran nilai semasa RM55,000.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah mulai 16 hingga 22 Februari ini,” ujarnya.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Beliau berkata, jumlah heroin itu boleh menghasilkan lebih kurang 502,578 gram dan mampu dibekalkan kepada 2,51 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram.

Sehubungan itu, S. Sasikala mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah kepada polis dalam usaha untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. – MalaysiaGazette