Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim . Foto AFFAN FAUZI, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis selesai merakam keterangan lapan orang individu berhubung penemuan 13 naskah al-Quran dalam sebuah beg biru yang disyaki dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan dan menjejaki suspek yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

“Setakat ini kita berjaya merakam keterangan daripada lapan individu dan kes masih dalam siasatan antaranya pasukan penyiasat pergi ke masjid atau surau berdekatan untuk menentukan dalam siasatan sama ada naskah yang dibuang itu berasal daripada premis berkenaan.

“Mereka yang dirakam keterangan terdiri daripada saksi awam, individu yang merakam video tular itu dan semua individu yang ada dalam video berkenaan, selain orang masjid yang simpan dan serahkan kitab suci itu untuk siasatan polis.

“Kita juga dengan kerjasama Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) ibu negara untuk menyemak pergerakan mana-mana individu yang mungkin boleh membantu siasatan kita,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penganjuran Program KL Cops Night Ride Polis Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Polis Ke-216 18 Mac ini.

Pada masa yang sama katanya, polis juga akan menghantar kesemua al-Quran yang telah diambil dari longkang itu ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan menggunakan maklumat itu untuk membantu siasatan polis.

Ditanya sama ada terdapat sebarang petunjuk baharu, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

“Akan tetapi kita sedang berusaha mengesan suspek yang masih bebas di luar.

“Saya juga berharap masyarakat memberi ruang dan peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut dan tidak menimbulkan sebarang polimik dalam perjumpaan al-Quran ini.

“Sekiranya kita ada bukti yang kukuh nanti, kita akan memastikan pesalah itu dibawa ke muka pengadilan nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast