menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Beberapa senarai Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan  menerusi projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.

Beliau berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap isu berkaitan tender rundingan terus antaranya projek di bawah Jana Wibawa yang melibatkan projek pembangunan dan infrastruktur.

“Sebanyak 56 projek telah mendapat SST dan keseluruhan projek tersebut bernilai RM6.3 bilion,” katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Azalina menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung jumlah bilangan dan nilai projek yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa khususnya tender rundingan terus melibatkan ahli keluarga pemimpin utama serta tindakan yang diambil ke atas mereka yang dapat ‘habuan.’

Menjawab soalan mengenai jumlah pertuduhan berprofil tinggi membabitkan ahli politik dan pegawai awam, Azalina berkata 60 daripada 180 kes selesai dibicarakan bagi tempoh 2018 hingga Januari tahun ini.

Katanya 72 individu telah disabitkan kesalahan manakala baki 120 kes masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai jumlah pertuduhan berprofil tinggi membabitkan ahli politik dan pegawai awam yang belum dibawa ke muka pengadilan untuk hukuman serta sebab-sebab ia ditangguhkan.

Azalina juga berkata kerajaan bercadang mengadakan sesi libat urus berkaitan Rang Undang-Undang Dana Politik untuk mendapatkan maklum balas gabungan dan parti politik serta pihak berkepentingan supaya sebarang rang undang-undang yang bakal dibentang kepada Jemaah Menteri adalah inklusif dan komprehensif serta mencerminkan keperluan semasa.

“Sebarang kertas kerja dan laporan pentadbiran terdahulu turut akan dipertimbang oleh kerajaan,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) berhubung perancangan kerajaan dalam membentangkan rang undang-undang itu bagi mengatasi isu pendanaan asing.

— BERNAMA