PEKAN – DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM U) dan Pusat Zakat Pulau Pinang telah menandatangani satu Memorandum Persetujuan (MoA) dalam usaha menawarkan pembiayaan bagi golongan B40 untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia.
Secara khusus, MoA yang ditandatangani antara kedua-dua pihak akan menawarkan bantuan kewangan bagi Program Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 bagi Kenderaan Ringan.
Kursus ini akan dianjurkan oleh DRB-HICOM U dengan pembiayaan disediakan oleh Pusat Zakat Pulau Pinang.
MoA itu telah ditandatangani oleh Prof Datuk Sr. Dr. Omar Osman, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif DRB-HICOM U bersama Datuk Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Zakat Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas di kampus Universiti itu di Pekan baru-baru ini.
MoA ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti yang turut melibatkan Majlis Agama Islam Negeri bagi menyediakan pembiayaan kepada pelajar dalam kumpulan B-40 yang berminat untuk meningkatkan kelayakan mereka dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program ini bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi meningkatkan kemahiran teknikal mereka bagi membantu meningkatkan tahap pendapatan mereka.
Menurut Omar, program ini juga bertujuan bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir daripada memperolehi pendidikan yang lebih baik hanya kerana mereka tidak mampu.
”Pendidikan arus perdana mungkin tidak dapat dicapai oleh sesetengah kumpulan atas faktor kos, tetapi pendidikan TVET menawarkan potensi besar untuk belia yang kurang berkemampuan membuat pilihan lain.
”rogram ini menawarkan mereka peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang dengan meningkatkan kemahiran teknikal yang semakin mendapat permintaan tinggi dalam pasaran automotif seperti Malaysia,” katanya.
Dalam menjadikan bidang TVET lebih mudah diakses, DRB-HICOM U juga telah mengembangkan program TVET di bawah Akademi Saga.
Program ini meliputi subjek automotif serta perniagaan yang berasaskan digital.
Langkah ini selaras dengan minat masyarakat, kerajaan dan industri yang lebih mendalam
terhadap program berasaskan TVET.
Sehingga hari ini, DRB-HICOM U telah berjumpa dengan majlis agama Islam di Kelantan, Pahang serta WP Kuala Lumpur untuk tujuan menjalinkan hubungan kerjasama. – MalaysiaGazette
















