Azmi Abu Kassim bersama basikal dalam gimik pelancaran Program KL Cops Night Ride sempena sambutan Hari Polis Ke216 di IPK KL.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur membelawa orang ramai menyertai acara berbasikal pada sebelah malam, KL Corps Night Ride sempena Hari Polis ke-216 pada 18 Mac depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, program kayuhan basikal sejauh 21.6 kilometer di sekitar ibu kota itu akan bermula pada jam 9 malam.

Tambah beliau, laluan kayuhan itu bermula di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur melibatkan 11 laluan di pusat bandaraya iaitu Jalan Hang Tuah, Jalan Pudu, Jalan Raja Laut, Chow Kit, Jalan Raya Muda, Jalan Semarak, Jalan Ampang, KLCC, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Conlay, IPK Kuala Lumpur dan Jalan Hang Tuah.

“Penyertaan dalam program ini sudah dibuka sejak 12 Januari lalu yang dihadkan kepada 2,160 peserta sahaja sebagaipada  simbolik sambutan Hari Polis ke-216 kali ini,” katanya selepas melancarkan Program KL Cops Night Ride Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, program itu adalah antara inisiatif pihaknya untuk meletakkan polis sentiasa bersama masyarakat, bertepatan dengan tema hari polis ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Menurut beliau, program berkenaan akan memberi pengalaman manis kepada peserta dengan menikmati kemeriahan suasana di sekitar ibu kota pada waktu malam.

“Kita berharap masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur supaya mengambil peluang ini bagi mendekati barisan kepimpinan polis Kuala Lumpur,” ujarnya.

Azmi berkata, idea menganjurkan program berbasikal itu tercetus apabila aktiviti sukan berbasikal menjadi trend dalam kalangan warga kota.

Katanya, tarikh tutup pendaftaran kepada orang awam adalah pada 3 Mac ini dengan yuran pendaftatan sebanyak RM60 dan pihaknya mengamalkan konsep first come, first served.

Orang ramai yang berhasrat mendaftar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan melayari laman sesawang https://cps4.me/klcopsnightride. – MalaysiaGazette