Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen, tiada keperluan dia mengambil remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella untuk disimpan dan didera, kerana lebih menyayanginya berbanding jagaan yang lain.

Siti Bainun, 31, yang mengambil Bella sejak Julai 2020 turut menyifatkan remaja perempuan itu seorang yang kelakar, manja dan suka menyanyi seorang diri di depan cermin, membuatkan dia suka menyakatnya.

Siti Bainun berkata semasa dalam jagaannya, tertuduh tidak pernah mendapat wang dan mengutip derma untuk menyara Bella, selain tidak mendapat bantuan bagi menguruskan remaja perempuan itu.

“Saya perlu menjual roti, kek, pasta dan mengambil tempahan katering untuk menampung tujuh anak saya termasuk Bella. Katering pun saya yang masak sendiri di rumah ibu dan tidak suruh pun anak-anak saya tolong, kecuali jika saya buat di kondominium. Mereka sendiri ingin membantu tanpa saya arahkan atau dipaksa,” katanya.

Siti Bainun berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada prosiding membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Beliau berkata penghuni Rumah Bonda dan anak-anak jagaannya telah diajar berdikari, berdisiplin dan berkasih sayang antara satu sama lain, meskipun kebanyakannya berasal dari latar belakang kurang bernasib baik.

“Bella, saya benarkan dia menyapu dan belajar lap pinggan kerana dia tidak tahu basuh pinggan dengan baik. Jadi pinggan dia, saya atau kakak-kakak yang cucikan. Saya ajar dia urus diri dan lain-lain. Kita tidak halang dia berdikari, tapi dia juga anak istimewa yang perlukan perhatian.

“Dalam fikiran saya, kalau saya sudah tiada satu hari nanti, anak-anak ini akan tahu tanggungjawab dan jaga diri mereka sendiri. Tetapi untuk memaksa dan menyuruh dia (Bella) membuat kerja seperti orang lain, itu tidak sama sekali kerana saya sedar dengan kemampuan dia,” katanya dalam nada sebak.

Siti Bainun berkata dia membangunkan Rumah Bonda dengan menggunakan wang arwah ayahnya dan niatnya untuk berpindah ke kondominium di Wangsa Maju, untuk memberikan tempat yang lebih baik dan selesa buat Bella.

Berhubung Bella diikat, dia berkata remaja perempuan itu suka merayau pada waktu malam untuk makan jajan dan pernah minum susu kotak satu karton hingga habis sehingga cirit-birit dan saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood mengakui perkara tersebut.

“Yasmin ada kain, dia attach kaki Bella dengan kaki dia, kalau Bella bangun nak merayap dan Yasmin boleh terjaga dan suruh Bella tidur.

“Sebab itu bila tanya siapa ikat? Bella cakap Shomin. Yasmin sendiri mengaku dalam keterangannya bahawa Shomin adalah dia. Tapi ikatan itu langsung tidak kuat dan sekadar untuk keselamatan Bella. Buktinya Bella tidak ada kecederaan atau bengkak akibat diikat seumpama cerita saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast