Ismail Sabri Keluarga Malaysia
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR –  Tabung Haji (TH) disaran supaya mengkaji semula tempoh masa jemaah berada di tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata TH boleh menawarkan empat pakej kepada jemaah menunaikan ibadah haji, sesuai dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Jelasnya, langkah berkenaan akan dapat menjimatkan kos golongan tertentu khususnya B40.

“Saya mencadangkan supaya Tabung Haji mengkaji semula tempoh masa berada di tanah suci. Empat pakej tempoh masa menunaikan ibadah haji boleh diperkenalkan iaitu 14 hari, 21 hari, 30 hari dan 40 hari.

“Bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi dapat menarik minat lebih ramai untuk menunaikan Rukun Islam Kelima ini kerana tempoh masa yang singkat dan mungkin ada di antara kita yang terikat dengan kerja dan perniagaan,” katanya ketika membahas Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kata Ahli Parlimen Bera itu, cadangan berkenaan sesuai dengan anggaran peningkatan kos Haji daripada RM25,540 pada tahun 2022 kepada RM31,870 pada tahun ini.

Menurut beliau, antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi berikutan impak ekonomi global (seperti perang Russia-Ukraine), kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian dan banyak lagi.

“Dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40, tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,890 dan RM18,720. Tabung Haji terpaksa menanggung subsidi yang tinggi,” jelas beliau.

Ismail turut menggesa kerajaan supaya menggubal semula Akta Tabung Haji 1995 untuk melaksanakan penambahbaikan.

“Sebagai contoh tiada peruntukan untuk patuh Syariah dan tadbir urus baik diwartakan di dalam Akta Tabung Haji yang sedia ada; walaupun Tabung Haji sebagai asasnya perlu patuh Syariah.

“Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna,” tambah beliau. -MalaysiaGazette