PEKAN – Seramai 3,813 suri rumah di Pahang telah mendaftar bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSRR) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, data itu direkodkan sehingga 15 Februari lalu.
Menurutnya, skim itu terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang,
“Ia termasuk seorang isteri, janda atau balu yang perkahwinannya berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau seorang ibu yang mempunyai seorang anak atau lebih termasuk ibu tunggal.
“Caruman sebanyak RM120 sebulan perlu dibayar terlebih dahulu bagi tempoh 12 bulan berturut-turut dan caruman itu boleh dibuat oleh suami, suri rumah, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut,” kata menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Tarmizi SKSRR merupakan skim sebuah perlindungan sosial yang diwujudkan kerajaan bagi melindungi suri rumah daripada apa-apa kejadian termasuk bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.
Selain itu, SKSSR menawarkan faedah bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.
Tambah Tarmizi, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk menaja perlindungan SKSSR kepada suri rumah yang berdaftar dengan pangkalan data e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP dan tempoh perlindungan SKSSR adalah berkuatkuasa pada 1 Disember 2022. – MalaysiaGazette