Datuk Teo Wee Cheng di hadapkan ke mahkamah atas dakwaan kes Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat perabot mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.87 juta berhubung projek Jana Wibawa antara Julai 2021 hingga November tahun lepas.

Bagi dua pertuduhan, Datuk Teo Wee Cheng, 65, didakwa meminta suapan daripada seorang individu berjumlah RM11.37 juta yang merupakan 10 peratus daripada harga kontrak tender untuk projek menaik taraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesyen, Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, Sedili, Kota Tinggi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Trimetro Development Sdn Bhd, Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Jun tahun lepas itu adalah sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek itu dan sebagai dorongan untuk bersetuju bahawa Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd dilantik sebagai sub-kontraktor.

Bagi tujuh pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa menerima suapan daripada dua individu berjumlah RM1.5 juta sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti mendapatkan projek menaik taraf jalan pintasan berkenaan yang bernilai RM39.75 juta dan dorongan untuk bersetuju Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd dilantik sebagai subkontraktor bagi membina jalan tersebut yang bernilai RM74 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat SSH Furniture, Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 hingga 15 November tahun lepas.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib, manakala peguam Cains Tan mewakili Teo.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bagi siapa yg tak tahu…nama towkey Cina ni yg disebut dlm kes UKSB di mahkamah bagi Bersatu $1.4 juta tahun lepas…dan mantan Pengerusi Syarikat towkey ni ialah abang Muhyidin…dah lah Si Muhyidin sebelum ni dia kata tak kenal sepupu menantu dia…towkey ni pun dia kata tak kenal…haaaaa…

Comments are closed.