Antara Para Doktor yang keluar selepas selesai sesi townhall bersama Menteri Kesihatan dengan para doktor di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyatakan pelantikan doktor tetap akan dibuat secara lebih telus dan akan mengatasi masalah buli dalam kalangan pegawai perubatan di negara ini.

Itu kata Pegawai Perubatan Siswazah (Kontrak) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Nurul Qashira Mohd Izlan, salah seorang daripada 350 pegawai perubatan tetap, kontrak termasuk siswazah dalam sesi townhall bersama Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

“Kami diberitahu KKM akan melaksanakan pemilihan berdasarkan kriteria yang lebih ketat supaya tiada lantikan yang tidak layak berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurul Qashira berkata, sesi yang sama juga menyentuh isu lambakan doktor kontrak namun dimaklumkan kelulusan perjawatan perlu mendapat kebenaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Wakil doktor, Dr. Nurul Qashira Mohd Izlan.

 

Dalam perkembangan sama, menteri kesihatan dalam sesi berkenaan juga memberi jaminan isu buli membabitkan pegawai perubatan di hospital kerajaan akan ditangani secepat mungkin.

Bagi doktor Hospital Melaka, Dr. Mohamad Firdaus Omar berkata, Dr. Zaliha memberi jaminan isu buli itu akan ditangani segera.

“Ada isu mikro dan ada isu makro, ada beberapa yang Dr Zaliha menjelaskan boleh diselesaikan dengan segera. Contohnya, isu buli,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi town hall itu di sini hari ini.

Doktor perubatan Hospital Melaka, Dr. Mohamad Firdaus Omar.

Dr. B. Abirami yang turut menghadiri sesi yang sama pula berkata, antara isu utama yang dibangkitkan termasuk inisiatif untuk meningkatkan kemudahan di hospital kerajaan.

Namun menurut beliau, KKM memaklumkan segala penambahan fasiliti itu bergantung kepada pembentangan Bajet 2023 yang akan diumumkan.

Wakil doktor, B. Abirami .

“Kami berharap Bajet 2023 pada Jumaat ini akan membawa khabar gembira kepada sektor kesihatan negara,” katanya.

Isu doktor kontrak, penambahbaikan fasiliti kesihatan awam, kekurangan doktor Jabatan Kecemasan, penambahbaikan laluan kerjaya pegawai adalah antara perkara dibangkitkan dalam sesi town hall bersama Menteri Kesihatan bersama pegawai perubatan kerajaan di sini hari ini.

Sementara itu, KKM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Zaliha akan berusaha menangani isu-isu berkenaan sama ada daripada segi polisi atau teknikal.

“Dr. Zaliha sangat menghargai dan menghormati pandangan, maklum balas dan cadangan yang duberi sepanjang sesi town hall yang diadakan selama lebih dua jam itu tadi,” kata kenyataan yang sama.

Sesi itu yang dianjurkan bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mendapatkan pandangan dan cadangan 350 pegawai perubatan tetap, kontrak termasuk siswazah.

Selain Dr. Zaliha, ia turut dihadiri timbalannya, Lukanisman Awang.

Sebelum itu, menerusi video di laman sosial Tiktok, Dr Zaliha menasihatkan pekerja dalam sektor kesihatan awam supaya tidak terlibat dalam sebarang mogok tanpa pemberitahuan kerana ia tidak menyelesaikan masalah.

Beliau meminta pekerja di bawah pimpinannya supaya berjumpa secara bersemuka untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Doktor kontrak? Pensyarah perubatan, yg juga Dr.pakar di IPTA pun kontrak tak ada siapa peduli…huhu

Comments are closed.