Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid diiringi Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi menurunkan tandatangan sebagai gimik Pelancaran Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Puchong, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 22 FEBRUARI 2023.

PUCHONG – Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi atau cuba menyembunyikan anggotanya yang didapati terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, pasukannya tidak akan sama sekali berkompromi terhadap pihak yang didapati bersalah.

“Warga PDRM juga diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku walau di mana berada serta apa jua keadaan sekali pun. Dalam perkembangan serta kepesatan media sosial pada masa kini, kita juga sering menjadi perhatian masyarakat yang mana setiap salah laku akan dilaporkan di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Anbalagan Arumugam.

Dalam ucapan perasmiannya, Razarudin turut menyeru seluruh masyarakat menjadi rakan kolaborasi PDRM dengan menyalurkan maklumat untuk membantu membanteras jenayah seiring dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast