JOHOR BAHRU – Syarikat pembekal daging sejuk beku LY Frozen Food Sdn. Bhd. didenda sebanyak RM1.5 juta selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan bersabit kesalahan kartel daging, tiga tahun lalu.
Yong Chee Keong, 42, merupakan pengarah syarikat tersebut pula dikenakan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan jika gagal membayarnya, beliau berhadapan enam bulan penjara selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan.
Keputusan diputuskan Hakim Fatimah Zahari selepas tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Sementara itu, Fatimah turut memerintahkan seorang lagi tertuduh iaitu pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, dibebas dan dilepaskan daripada kesemua tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira Kim Kuang hanya merupakan seorang pekerja di syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, Fatimah turut memerintahkan seorang lagi pengarah syarikat, Tan Siew Huak, 44, yanh masih gagal dikesan sehingga hari ini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah mengguna, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua syarikat pembekal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu.
Kesalahan itu dilakukan di premis syarikat berkenaan yang beralamat di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai antara 1 hingga 3 Disember 2020.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntuk hukuman denda antara RM100,000 hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, pada 12 Februari lalu, mahkamah sama telah melepas dan membebaskan Syarikat LY Frozen Food Sdn. Bhd., Kim Kuang, dan akauntan, Ng Yee Xin, 39, daripada 12 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM12.9 juta antara Oktober 2018 hingga Disember 2020 lalu.
Fatimah membuat keputusan tersebut selepas ketiga-tiga tertuduh membayar kompaun keseluruhan sebanyak RM1.5 juta atas kesalahan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Pada 2 Disember 2020, media melaporkan syarikat pembekal daging sejuk beku itu dikatakan menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina membungkus semula daging terbabit menggunakan logo halal palsu sebelum dijual ke pasaran tempatan.
Syarikat berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu selama beberapa tahun dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi membuat label dan cap palsu pada kotak daging yang dibungkus semula.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Zamri Idrus.- MalaysiaGazette