Pacuan empat roda dinaiki dua suspek itu terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa sekali gus menyebabkan daun ketum berselerak atas jalan.

PADANG TERAP – Cubaan dua lelaki menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum ke Thailand berjaya digagalkan Tentera Darat semalam.

Ia susulan anggota tentera yang sedang menjalankan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand mengesan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.30 tengah hari di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di sini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand itu memecut laju apabila menyedari kehadiran pasukan berkenaan sebelum dikejar Kumpulan Ronda Bermotosikal Tentera Darat.

Dua lelaki tempatan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun pemandu  berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sekali gus menyebabkan muatan ketum yang dibawa turut berselerak atas jalan.

“Insiden tersebut turut menyebabkan suspek iaitu pemandu dan penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, hasil pemeriksaan mendapati dua-dua warga tempatan itu dalam perjalanan menyeludup keluar kira-kira satu tan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM38,000.

“Susulan itu, kedua-dua suspek yang dirawat di Hospital Kuala Nerang di sini kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette