ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) optimis mampu mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali keenam berturut pada aksi perlawanan Sumbangsih menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.
Penolong jurulatih JDT, Pablo Ricchetti, berkata kemenangan itu penting buat pasukan dalam misi melebarkan rekod kejuaraan Liga Super selama 10 musim berturut-turut.
“Sekarang ini, kami mahu meneruskan kemenangan kerana pasukan telah beraksi pada tahap tinggi dengan permainan berintensiti tinggi (sebelum ini). Jadi, kami perlu memenangi pertembungan esok sebagai permulaan yang baik untuk musim Liga Super,” katanya kpada sidang media, di sini, hari ini.
Mengenai kesebelasan utama esok, jurulatih kelahiran Argentina itu berkata ketua jurulatih baharu, Esteban Solari, masih belum membuat keputusan mengenainya.
“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti termasuk muka baharu yang telah menyertai pasukan musim ini. Saya percaya sesiapa pun, mereka akan dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, berkata skuad itu akan memberikan yang terbaik walaupun tanpa tiga pemain utama mereka, esok.
Beliau berkata tanpa Habib Haroon, Faiz Nasir dan Liridon Krasniqi, ia tidak akan mematahkan semangat skuad kerana sudah mempunyai rancangan untuk mencabar skuad Harimau Selatan.
“Saya sudah mengenal pasti pengganti mereka dan percaya mereka boleh memikul tugas yang diberikan esok.
“Kita boleh jangkakan esok adalah perlawanan yang menarik. Saya menjangkakan pemain akan melakukan yang terbaik kerana saya telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi JDT pada aksi pembukaan liga,” katanya.- BERNAMA