SEBERANG PERAI – Seorang pemandu van ditahan selepas cuba melanggar anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang sedang melakukan Ops Khas Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di Jalan Perusahaan Perai di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan berusia 40-an itu gagal selepas anggota bertugas itu sempat mengelak sebelum suspek ditahan kira-kira jam 7.30 pagi.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pemandu itu memberi alasan mahu ke tandas menyebabkan dia memandu laju tanpa mematuhi arahan anggota penguatkuasa untuk memberhentikan kenderaannya.
“Hasil pemeriksaan ke atas pemandu berkenaan mendapati dia baru mengambil lapan orang tukang cuci dari kilang berhampiran untuk dihantar ke asrama pekerja.
“Semakan lanjut mendapati dia menggunakan van persendirian yang didaftarkan atas individu lain untuk membawa pekerja pembersihan itu.
“Selain itu, pemandu berkenaan juga didapati tidak memiliki Lesen Kenderaan Pengakutan Awam (PSV),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambah beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyalah gunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian bagi tujuan perkhidmatan awam.
Dalam perkembangan lain, Adenan berkata, sebanyak 132 kenderaan perkhidmatan awam diperiksa dalam operasi tersebut sebelum 17 bas kilang disita atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan termasuk pemandu bas tidak memiliki lesen PSV, cukai jalan serta permit tamat tempoh kenderaan.
“Kesalahan yang dilakukan mereka ini mengundang risiko kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Lebih malang, rata-rata pemandu berkenaan dikesan melakukan kesalahan ini berulang kali namun ia dipandang enteng oleh pihak majikan termasuk terus menggajikan mereka bagi pekerjaan yang sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette