Azam Baki.

PUTRAJAYA – Pejabat Peguam Negara (AGC) akan menentukan sama ada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin akan dituduh di mahkamah berhubung dalam kes Projek Inisiatif Jana Wibawa yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana siasatan ke atas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu masih dilakukan pihaknya dan adalah masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan dalam kes tersebut.

“Itu saya tak boleh komen sekarang sebab siasatan SPRM masih berjalan dan diteruskan ke atas dia (Muhyiddin).

“Malah, sama ada dia akan didakwa dalam masa terdekat atau tidak itu saya membiarkan kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) untuk membuat keputusan sekiranya siasatan dalam kes itu selesai dibuat,” katanya pada sidang media mengenai Op Tropicana di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada Ahli Parlimen Pagoh itu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Menurut Azam, kertas siasatan membabitkan Muhyiddin masih belum dihantar kepada AGC.

Ditanya mengenai dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya merupakan pendakwaan terpilih, Azam berkata, SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan berdasarkan aduan yang diterima.

Jelasnya, SPRM bukan alat kepada mana-mana parti politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.