Foto: FB Polis Perlis

KANGAR – Polis menggagalkan cubaan sindiket dadah mengangkut 1.8 tan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM64.8 juta dengan menggunakan lori tunda untuk menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan itu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, lori tunda itu ditahan ketika operasi bersepadu melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Briged Utara, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis dan Polis Marin Perlis di sekitar Jalan Sungai Baru Simpan Empat kira-kira 4 pagi pada 19 Februari.

“Ketika rondaan ketua pasukan operasi tersebut menahan sebuah lori yang sedang menunda lori yang tertutup dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 27 guni yang setiap satu mengandungi 25 bungkusan disyaki dadah jenis syabu di dalam lori yang ditunda tersebut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Surina berkata, polis turut menahan lima warga tempatan termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 29 hingga 49 tahun yang bekerja sebagai ejen kasino, tukang masak dan penyanyi kelab malam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan.

“Dadah yang dibawa masuk dari negara jiran itu dipercayai akan diedar ke selatan negara untuk kegunaan lebih kurang sembilan juta penagih dan ini merupakan tangkapan terbesar,” katanya dan menambah siasatan lanjut akan diadakan bagi memburu dalang sindiket.

Katanya, polis turut menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM400,000 termasuk tiga buah kenderaan, barang kemas dan wang tunai.

Surina berkata, seorang suspek cuba menyogok polis dengan menawarkan wang tunai RM200,000 bagi menutup kes namun ditolak dan hal itu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata polis akan meneruskan operasi bersepadu melibatkan semua eleman Polis Diraja Malaysia bagi membanteras kegiataan pengedaran dadah yang merupakan musuh nombor satu negara yang perlu ditentang habis-habisan. – Bernama