KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan punca beliau berdepan dengan pertuduhan rasuah.
Syed Saddiq berkata, beliau telah diminta untuk menyokong kepimpinan Muhyiddin supaya pendakwaan terhadapnya dihentikan.
“Saya diminta sokong Muhyiddin walaupun saya tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan beliau. Namun jika sokong, ini akan menghentikan pendakwaan terhadap saya.
“Ini salah. Saya diberitahu oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saya adalah mangsa dakwaan politik. Ini tidak betul dan perlu diperbetulkan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid ketika pemeriksaan balas dengan peguam bela, Gobind Singh Deo.
Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armanda Bersatu) sebelum ini diarah membela diri terhadap empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan mengendalikan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang sebanyak RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq berkata, seorang pegawai SPRM yang menggeledah rumahnya memujuk beliau untuk menyokong Muhyiddin bagi mengelakkan didakwa di mahkamah.
“Pegawai itu bersama saya hampir setiap hari ketika proses penggeledahan dan siasatan, namun adalah salah untuk meminta saya menyokong Muhyiddin bagi mengelak saya didakwa.
“Salah untuk beliau menyatakan bahawa SPRM menjadi alat politik ketika pertukaran kerajaan dan saya menjadi mangsa politik,” ujarnya.
Menurut Syed Saddiq, ugutan hanya berhenti apabila salah seorang rakannya bernama Hidayah membuat kenyataan media bahawa beliau diugut dan dikasari pegawai suruhanjaya itu ketika disoal siasat.
Tambah beliau, terdapat rakan lain membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Ketika itu transkrip rakaman audio yang dikatakan perbualan di antara Syed Saddiq dan seorang pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan turut dirujuk mahkamah.
Dalam transkrip itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawa beliau masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan masih mengambil berat terhadapnya. – MalaysiaGazette