Penjawat awam mengikuti pembentangan Belanjawan 2023 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2023 harus mempunyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu terutama dalam meninggalkan amalan pembaziran serta rasuah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam selain pengusaha dan rakyat menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan atau sistem itu diteladani negara serantau termasuk seantero dunia.

“Sementelahan pula, kita harus akui bahawa amalan pembaziran dan rasuah mesti ditinggalkan. Maka saya memilih membentangkan kerangka belanjawan berteraskan semangat islah dengan maksud memacukan pengarahan baharu lagi segar.

“…lantas membenam purbasangka (prasangka) yang kononnya kita masih cenderung mempertahankan status quo serta kepentingan golongan mahakaya,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata ini kerana amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan malah mencalar imej negara.

Anwar berkata, ia boleh dilihat berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 yang jatuh merudum ke tangga 61 berbanding tangga ke-29 pada 1998.

“Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.

“Umpamanya isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan tahun lepas.

“Inilah bukti pelbagai keterlanjuran yang memberi dampak (kesan ketara) buruk kepada negara. Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang.

“Kita menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara, dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” kata beliau.

Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast