Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang beg yang berisi teks Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan hasil negara.

Menurut Menteri Kewangan itu, dengan mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, kerajaan wajar menumpukan agihan hasil negara kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

“Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian yang melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang berkemampuan.

Ini termasuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan nilai had tertentu mengikut jenis barang mewah terbabit.

Selain itu kerajaan juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024 pada kadar yang rendah.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti cadangan itu.

Dalam pada itu, bagi membendung penggunaan nikotin, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape.

Tambah Anwar, kerajaan juga menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju separuh daripada hasil duti eksais itu akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesiharan sebagai usaha meningkatkan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Bagi mengurangkan ketirisan hasil dan subsidi, badan penguatkuasa akan terus dipergiat bersama pihak industri untuk mengekang sindiket penyeludupan diesel, arak dan rokok.- MalaysiaGazette