BAITULMAQDIS – Israel telah meluluskan rancangan untuk membina 7,157 unit rumah baharu di penempatan di Tebing Barat yang diduduki, kata kumpulan pemerhati penempatan Israel.
Majlis Perancangan Tinggi Pentadbiran Awam, sebuah badan Israel yang bertanggungjawab meluluskan pembinaan di Tebing Barat, meluluskan rancangan bangunan itu selepas dua hari perbincangan yang bermula pada hari Rabu.
Peace Now dalam kenyataannya berkata, daripada unit perumahan baharu yang dirancang, 5,257 unit sedang dimajukan dengan kelulusan awal, manakala 1,900 sedang menunggu kelulusan akhir yang diperlukan untuk pembinaan dimulakan.
Ini merupakan salah satu projek pembesaran penempatan terbesar yang diluluskan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berbanding 4,427 unit rumah yang diluluskan pada 2022 dan 3,645 unit pada 2021.
Tindakan itu dibuat kurang daripada dua bulan selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengangkat sumpah pakatan sayap kanan yang didominasi oleh parti ultra-nasionalis dan pro-peneroka penempatan.
Pada hari Rabu, serbuan tentera Israel di bandar Nablus dekat Tebing Barat membunuh 11 rakyat Palestin dan mencederakan 102 yang lain.
Situasi itu memburukkan lagi hubungan yang sedia tegang antara Israel dan Palestin. – Agensi