Mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan bersubahat memalsukan penyata bank bagi menipu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), tahun lepas.

Sairi Norhafi, 57, didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengarahkan seorang lelaki memalsukan dokumen iaitu penyata bank milik sebuah syarikat bertarikh 31 Okt, 30 Nov dan 31 Dis 2021 dengan niat supaya dokumen palsu itu digunakan untuk menipu MBSA.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pilihan bersubahat dengan lelaki sama menggunakan beberapa dokumen sebagai tulen iaitu penyata bank milik syarikat sama yang diketahuinya adalah dokumen palsu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sairi didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Bahagian Tender dan Ukur Bahan, MBSA antara 25 Jan dan 10 Mac 2022.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) A. Kalaivani menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Jaminan yang dikenakan kepada tertuduh ini adalah satu jumlah yang sangat munasabah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Kesalahan itu melibatkan dua projek landskap masing-masing bernilai RM487,070 dan RM511,000, selain tertuduh telah dibayar (oleh MBSA) hampir RM19,000. Mohon juga mahkamah mengambil kira tahap keseriusan kes,” katanya.

Hakim Rozilah Salleh mengenakan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua permohonan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, selain menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes.

Sairi diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar. – BERNAMA