HONG KONG – Bekas suami dan keluarga mertua Abby Choi didakwa di mahkamah kerana membunuh dengan kejam model dan pempengaruh itu.
Alex Kwong, dan abangnya, Anthony serta bapa mereka Kwong Kau didakwa dengan pertuduhan tersebut.
Manakala ibu Kwong, 63 telah didakwa menghalang kes tersebut.
Semua mereka tidak diberi jaminan.
Kehilangan Abby terungkai selepas kepalanya yang dikerat ditemui di sebuah rumah tiga tingkat di daerah pedalaman Tai Po pada hari Ahad, beberapa hari selepas bahagian tubuhnya yang lain ditemui di lokasi yang sama.
Lokasi penemuan mayat itu kira-kira 27 kilometer dari tempat terakhir Abby dilihat di Kowloon City pada hari Selasa.
Alat penghiris daging dan gergaji elektrik turut ditemui di tempat kejadian.
Polis Hong Kong memberitahu media, mereka percaya Abby dan bekas mertuanya mempunyai banyak pertikaian kewangan yang melibatkan puluhan juta dolar Hong Kong.
‘Beberapa pihak’ didakwa tidak berpuas hati dengan cara Abby mengendalikan aset-aset miliknya.
Alex Kwong telah ditangkap pada hari Sabtu ketika cuba meninggalkan bandar dengan bot laju selepas ibu, bapa dan abangnya telah ditahan sehari sebelumnya.
Polis turut menahan suspek kelima pada Ahad yang mempunyai kaitan dengan bekas bapa mentua Abby.
Abby meninggalkan empat orang anak termasuk dua anaknya bersama Alex dan dua lagi anak dengan Chris Tam – pasangannya sejak 2016. – Agensi