Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini mengarahkan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah membela diri atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu.

Mahkamah membuat ketetapan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan elemen kesalahan dalam pertuduhan.

“Malah tiada sebarang percanggahan dalam kenyataan dibuat mereka. Isu dibangkitkan peguam bela tertuduh pula tiada merit. Sekarang beban terletak pada tertuduh untuk mematahkan anggapan dalam pertuduhan terbabit.

“Mahkamah memberikan tiga pilihan kepada tertuduh,” katanya hari ini.

Pilihan pertama ialah memberi keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh yang mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.

Pilihan kedua ialah memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan sementara pilihan akhir ialah berdiam diri tanpa menjawab tuduhan.

Ismahalil kemudian memilih pilihan pertama.

Tarikh prosiding kes ditetapkan pada 30 dan 31 Mei depan.

Sebelum ini Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati. – MalaysiaGazette