Ketua Setiausaha Perbendaharaan
(Dari kiri) Zulkapli Mohamed, Mohd. Zuki Ali dan Johan Mahmood Merican. - Gambar: Facebook

KUALA LUMPUR – Datuk Johan Mahmood Merican dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan manakala Datuk Dr. Zulkapli Mohamed sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, pelantikan mereka telah diperkenankan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, pelantikan Johan adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas yang dimilikinya sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan selari dengan hasrat Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Johan, 50, merupakan lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta akauntan bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp), Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Mohd. Zuki berkata, pelantikan Zulkapli adalah berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, pembangunan modal insan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp) dan Setiausaha Persekutuan Sabah di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Zulkapli mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” jelasnya.

Zulkapli, 58, berkelulusan ljazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia, ljazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan ljazah Doktor Falsafah dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji, Jepun.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Disember 1992. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg si Johan tu, baca Laporan Ketua Audit 2019 tentang kegagalan Talent Corp…Gagal pun boleh jd Ketua Perbendaharaan? Dah tak ada org lain kaaa? Aiyoooo

Comments are closed.