Kemalangan berlaku pada 9.20 pagi tadi melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal, kenderaan MPV dan sebuah lori di Jalan Tanah Putih di Kuantan meragut nyawa seorang eksekutif berusia 33 tahun

KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya ditunggangnya melanggar penghadang jalan ketika cuba mengelak melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan yang menukar haluan secara tiba-tiba di Jalan Tanah Putih, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 9.20 pagi, motosikal tersebut bergesel pada bahagian belakang MPV menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan.

“Mangsa kemudian tercampak ke laluan arah bertentangan dan dalam masa yang sama, datang lori dari arah bandar menghala ke Tanah Putih (bertentangan) tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya.

ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu

Menurut Wan Zahari, mangsa yang merupakan seorang eksekutif sebuah syarikat dikenali Mohd Zulkhairol Nizam Zulkifli, 33, yang mengalami cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.

Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. – MalaysiaGazette