Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) melancarkan sistem pagar automatik pada Majlis Pelancaran Peluasan Kemudahan Autogate kepada Pelawat Asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Foto MUHD NA’IM, 27 FEBRUARI 2023.

SEPANG – Warga asing dari 10 negara berisiko rendah yang memasuki negara kini dibenar menggunakan sistem pagar automatik (autogate) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesesakan pengunjung yang terpaksa beratur hampir dua jam di lapangan tersebut.

“Tinjauan saya tadi mendapati, pengunjung terpaksa beratur paling cepat 30 minit dan paling lama satu jam setengah.

“Jadi hari ini saya melancarkan peluasan kemudahan autogate kepada 10 negara berisiko rendah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Katanya, 10 negara tersebut adalah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Australia, New Zealand dan Singapura.

Beliau menambah, ia juga termasuk dari negara Jepun, Korea Selatan, Brunei dan Arab Saudi.

Ujar Saifuddin, keputusan itu akan memberi manfaat kepada hampir 855,000 pengunjung atau 27.1 peratus daripada jumlah kemasukan pelawat asing yang memasuki negara ini.

“Kesesakan ini berlaku sebab ketibaan pesawat yang tinggi dengan sela masa yang singkat. Contohnya semalam, waktu puncak antara pukul 3 hingga 11 malam dengan ketibaan 147 pesawat menyebabkan ketibaan pengunjung yang besar,” ujarnya.

Sebelum ini, penggunaan pintu automatik hanya disediakan untuk warganegara sahaja.
Terdahulu, Jabatan Imigresen (JIM) juga telah melaksanakan kemudahan autogate kepada pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang mulai 15 Novemer lalu.
Kemudahan itu turut dinikmati warganegara Singapura bermula 20 Januari tahun ini yang dilakukan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast