KUALA LUMPUR – Selangor FC mencatat kemenangan tipis 1-0 mengatasi Kelantan United pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, malam ini.
Jaringan tunggal perlawanan terhasil daripada sepakan sudut Mohamad Faisal Abdul Halim yang seterusnya ditanduk kemas tonggak pertahanan, Yazan Al-Arab sekali gus menerjah gawang gol Kelantan United pada minit ke-40.
Anak buah Tan Cheng Hoe menguasai hampir keseluruhan perlawanan di separuh mata pertama dengan beberapa percubaan dilakukan namun gagal menambah jaringan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.
Bersambung babak kedua, giliran anak buah Tomas Trucha cuba membuktikan kehadiran Kelantan United bukan sekadar pelengkap liga dengan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya namun disekat penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan namun ketumpulan di bahagian hadapan mengakibatkan tiada gol dihasilkan dan keputusan akhir kekal memihak kepada skuad Gergasi Merah.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC kempunan untuk mencipta kemenangan di halaman sendiri selepas terikat seri 1-1 menentang Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Anak didik K Devan bermula garang sebaik wisel ditiup selain dilihat kerap mengatur serangan ke arah kubu Sri Pahang yang kemudian diterjemahkan kepada gol oleh pemain import dari Brazil, Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-20.
Bersambung babak kedua perlawanan, giliran skuad Tok Gajah mengatur rentak dan berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-47.
Kedudukan 1-1 itu bagaimanapun kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. – Bernama