SPRM zakat
Bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pesara kerajaan dipercayai mengemukakan dua invois mempunyai butir palsu berjumlah kira-kira RM36,000 kepada sebuah pejabat daerah.

Sumber berkata, suspek lelaki, 61 tahun itu dipercayai mengemukakan invois berhubung pembekalan makanan dan minuman kepada petugas di sebuah Kompleks Sukan Keningau sempena Sukan SAGA IX Keningau mulai 5 hingga 13 Disember 2019.

Ujarnya, sebaliknya pembekalan tersebut tidak dibuat.

Suspek ditahan di pejabat SPRM Negeri Sabah Cawangan Keningau kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa yang terdekat. -MalaysiaGazette