Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Empat individu terpedaya dengan sindiket penipuan atas talian mengalami kerugian sebanyak RM313,885 pada bulan ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa pertama yang merupakan seorang suri rumah, 38, telah berkenalan dengan seorang lelaki warga Hong Kong melalui aplikasi Weibo pada Januari lalu dan ditawarkan menyertai pelaburan tukaran mata asing di aplikasi Wbex.

“Selepas menerangkan mengenai proses tukaran mata wang asing melalui aplikasi itu, mangsa membuat 10 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun syarikat yang berbeza.

“Setelah beberapa transaksi dibuat, mangsa menyedari dirinya telah ditipu suspek dan mengalami kerugian sebanyak RM 149,314,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, menurut Ramli, seorang kontraktor, 41, pula berminat untuk menyertai pelaburan di luar negara selepas diperkenalkan oleh kakaknya pada April tahun lalu

Tambah beliau, mangsa telah membuat  pembayaran wang ke dalam akaun suspek sebanyak tiga kali selepas diberitahu mengenai lot perniagaan tersebut setelah dihubungi seorang lelaki.

“Namun sehingga kini, mangsa masih tidak menerima sebarang wang keuntungan hasil daripada pelaburan tersebut, seterusnya mengalami kerugian sebanyak RM62,571,” ujarnya.

Ramli memberitahu, kes ketiga membabitkan pesara jururawat swasta, 64, ditipu dalam urusan pelaburan di luar negara tidak wujud yang diperkenalkan oleh rakan mangsa pada Disember 2019.

Jelasnya, mangsa dikatakan berhubung dengan seorang lelaki yang memberi penerangan mengenai peluang pelaburan di luar negara dengan membuka satu lot perniagaan.

Katanya, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran untuk kesemua kelengkapan lot perniagaan tersebut.

“Selepas membayar pembayaran itu, mangsa sehingga kini tidak menerima sebarang hasil keuntungan pelaburan dan mengalami kerugian RM61,000.,” kata beliau.

Manakala seorang penuntut berusia 22 tahun diperdaya dengan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi WhatsApp pada 12 Februari lalu

“Mangsa berminat dengan tawaran kerja itu, dan telah diminta oleh suspek untuk membuat beberapa tugasan sebagai syarat kerja tersebut. Selepas selesai tugasan tersebut, suspek meminta kesemua maklumat peribadi mangsa untuk tujuan pembayaran komisen mangsa.

“Mangsa meneruskan tugasan dengan membuat sembilan transaksi kemasukan wang ke beberapa akaun yang diberikan oleh suspek. Sejurus itu, mangsa sedari telah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM41,000,” kata Ramli. – MalaysiaGazette