Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU – Kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik, selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen yang diberikan namun ia perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.

“Kalau kantung bertambah baik defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah), dan sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik antaranya di negeri kemudian hasil bertambah, proses itu boleh dipercepat.

“Cuma untuk hari ini saya fikir sukarlah, itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Ketika menyampaikan amanat pada majlis itu, Anwar berkata negara berdepan defisit fisikal sebanyak 5.6 peratus dan jumlah hutang kira-kira RM1.5 trilion yang perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kemakmuran negara terutama dari segi ekonomi.

“Beberapa bulan ini bila pulangan kita dua bilion, tiga bilion, lapan bilion masuk dalam kantung kewangan negara, satu sen pun tidak bocor, kalau bocor siaplah… semua tahulah saya buat macam macam mana.

“Kalau kantung negara cukup, penjawat awam percayalah saya akan beri keutamaan kepada nasib anda semua… kerana khidmat dan dedikasi anda wajar diberikan gaji dan upah yang lebih baik,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua penjawat awam supaya mengamalkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan Malaysia dapat diurus dengan sempurna selain kewangan negara dapat dipulihkan dengan segera.

“Saudara dan saudari semua berkerjalah dengan baik kerana banyak lagi yang kita belum selesaikan misalnya isu kemiskinan dan Lebuhraya Pan Borneo, kita selesaikan untuk rakyat kita dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast