individu mahkamah
Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menetapkan 11 September depan bagi mendengar prosiding bicara saman fitnah Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kes ini berkaitan Ahmad Zahid mempersoalkan asal usul bekas perdana menteri itu.

Peguam mewakili Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mengesahkan tarikh bicara itu turut memaklumkan 14 Julai ini bagi mengemaskini perkembangan terkini terhadap kes berkenaan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff turut menetapkan Dr. Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan dipanggil sebagai saksi plaintif.

“Mahkamah menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes secara sidang video menerusi aplikasi Zoom pukul 9 pagi, 14 Julai ini bagi mengemaskini perkembangan terkini jika ada terhadap kes ini. Bicara penuh pada 11 hingga 14 September pukul 9 pagi,” katanya selepas pengurusan kes atas talian.

Ahmad Zahid didakwa mengeluarkan kenyataan menfitnah Dr. Mahathir semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian.

Kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud Dr. Mahathir bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan status Melayu semasa menjadi perdana menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecil rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Ahmad Zahid pula dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lalu menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasinya di khalayak umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast