KUALA LUMPUR – Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) didakwa semakin nazak kerana ketinggalan jauh berbanding negara maju yang lain.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Pakatan Harapan) berkata, sehingga kini ada graduan TVET yang masih berhadapan dengan tangga gaji yang rendah meskipun sudah menghabiskan masa selama lebih kurang lima tahun untuk menamatkan pengajian.
Malah, ada yang tidak meneruskan pelajaran sebaliknya memilih untuk bekerja meskipun mempunyai pilihan untuk menyertai TVET.
“Kita perlu akui keadaan TVET dalam negara nazak… Lihat gaji selepas jadi graduan. Jika mereka ada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 Ketiga gaji permulaan RM1,500 kalau ada diploma RM1,800. Adakah ini mencukupi? Jelas tidak
“Kalau tanya anak-anak TVET mereka belanjakan lima tahun massa mereka tangga gaji RM1,800 sebulan mereka lebih rela bekerja dalam sektor ekonomi gig atau terus kerja lepas SPM di Uniqlo dengan gaji RM2,300,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2023, di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu katanya, subjek yang diajar dalam institusi-insitusi TVET tidak relevan dengan kemahiran yang sepatutnya ditawarkan.
“Subjek-seubjek yang diajar kadang-kadang tidak relevan dan tidak ikut keperluan pasaran, seperti Koku, kenegaraan, bahasa baru, bila sudah masuk TVET pengajian tinggi maksudnya sudah habiskan masa 10 tahun di sekolah rendah dan menengah sebelum itu.
“Jika tidak memahami perlembagaan negara, identiti tidak boleh bertutur bahasa negara ia menunjukkan masalah teruk. Nama pun fokus kemahiran bukan nak belajar semua itu lima tahun, sebab itu perlu dikaji semula,” tegasnya.
Selain itu beliau berkata, kadar penyertaan ke institusi-institusi TVET juga rendah.
“Sebab itu perbahasan dalam dewan kadang-kadang salah apabila ada yang cakap tolong bina institusi TVET di kawasan bahru, bina bahru selepas tiga tahun tutup kerana tidak ada orang nak sertai sebab ada 700 institusi TVET merentasi tujuh hingga lapan kementerian tetapi kadar enrolmen bawah 50 peratus, ini masalah mendesak,” ujar Syed Saddiq.
Demi memastikan nasib golongan Bumiputera khususnya dalam kategori B40 mendapat pembelaan maka bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyeru supaya kerajaan memperkasakan institusi TVET.
Antara cara yang boleh diambil adalah mengiktirafkan diploma kepada pelajar di sekolah menengah berkemahiran selepas tamat pengajian vokasional.
Seterusnya beliau mencadangkan, latihan kemahiran dalam tempoh enam hingga setahun selepas tamat Tingkatan 5 bagi pelajar TVET bagi mengurangkan tempoh pembelajaran dalam masa yang sama mengekalkan kebolehpasaran masing-masing.
“Kalau kita nak perkasakan anak-anak yang susah ini, maka perkasakan TVET kerana kalau kita perkasakan TVET nasib mereka akan terbela,” katanya lagi.-MalaysiaGazette