A.A Anbalagan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan lima individu yang dipercayai memukul seorang pemandu lori sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini, pagi semalam.

Kejadian itu berlaku di rumah sewa mangsa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian itu dilaporkan oleh adik simati selepas menerima panggilan telefon daripada teman wanita mangsa yang memaklumkan kejadian itu, kira-kira jam 7.15 pagi.

”Teman wanita mangsa mengatakan abang pengadu telah dipukul oleh semua suspek semasa di dalam kediaman abangnya.

“Mereka kemudian membawa mangsa keluar dari rumah tetapi tidak pasti lokasinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun, sekitar jam 11.30 pagi, rakan mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek utama memberitahu mangsa berada di wad kecemasan Hospital Cyberjaya.

Adik mangsa kemudian ke Hospital Cyberjaya dan dimaklumkan abangnya sudah meninggal dunia.

Anbalagan berkata, mangsa yang berusia 31 tahun mengalami bengkak dan lebam di mata, luka di hidung dan pendarahan pada kedua-dua telinga.

Menurutnya, kecederaan mangsa disebabkan hentakan benda tumpul.

“Kita percaya motif pembunuhan ini kerana perasaan dendam dan cemburu suspek utama terhadap simati,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette